Chow Kon Yeow masih belum menyatakan komitmen sama ada dia akan mempertahankan jawatan sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang atau tidak walaupun tempoh kurang dari seminggu sebelum penamaan calon ditutup untuk pemilihan parti di Pulau Pinang.
Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata perkara itu hanya boleh diketahui selepas tamat sesi penamaan calon bagi pemilihan parti itu nanti.
"Oleh itu, kita perlu tunggu sedikit masa untuk mengetahui sama ada saya dicalonkan atau pun tidak.
"Saya pun tidak tahu dicalonkan atau pun tidak, kena tunggu proses sampai ke peringkat terakhir," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Adun Padang Kota itu menjelaskan calon-calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua cawangan untuk melayakkan diri bertanding pemilihan parti.
"Sebenarnya hari ini bukan hari terakhir untuk menghantar senarai calon tetapi pada 24 Ogos ini. Untuk pentadbiran, kita kumpul dari cawangan-cawangan Pulau Pinang bagi dihantar ke Pusat.
"Maka, mana-mana cawangan yang mahu menghantar melalui Ibu pejabat DAP Pulau Pinang, mereka harus melakukannya pada hari ini.
"Bagaimanapun, sekiranya pihak cawangan tidak mahu melalui ibu pejabat negeri, mereka tidak dihalang untuk menghantar terus ke Pusat kerana pemilihan ini dikendalikan oleh ibu pejabat (DAP) pusat," katanya lagi.
Pemilihan DAP Pulau Pinang dijadualkan berlangsung pada 22 September depan.
Secara tradisinya, pengerusi DAP negeri juga memegang jawatan ketua menteri.
Pada November 2018, kerajaan negeri Pulau Pinang telah meminda Perlembagaan Negeri untuk menghadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.
Chow dispekulasi mungkin tidak mempertahankan jawatannya, dengan khabar angin mengatakan Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying mungkin akan bertanding merebut jawatan pengerusi parti negeri itu.
Walaupun Hui Ying bukan seorang Adun namun dia ahli parlimen Tanjung.
Abangnya Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng pula ahli parlimen Bagan dan Adun Air Putih.
Guan Eng, bekas ketua menteri Pulau Pinang digantikan oleh Chow selepas PRU14.
Hubungan Chow dan Guan Eng dilaporkan tidak begitu akrab dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pun begitu, Guan Eng pada tahun lalu menolak dakwaan ketua menteri Pulau Pinang itu bahawa terdapat gerakan untuk menjatuhkannya.