Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istana Pahang lapor polis terhadap Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 19, 2024 4:06 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Istana Pahang membuat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin kerana didakwa mempertikai keputusan yang di-pertuan agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik perdana menteri.

Istana Pahang membuat laporan itu di di ibu pejabat polis daerah Kuantan malam tadi, selepas ucapan presiden Bersatu dalam kempen pilihan raya kecil Nenggiri, Kelantan itu dimuat naik ke media sosial.

Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, kenyataan itu sangat bahaya kerana ia terang-terang menghasut rakyat hilang kepercayaan kepada institusi raja diraja dan memecahbelahkan rakyat.

"Dalam petikan ceramah tersebut, beliau (Muhyiddin) seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah gagal untuk menghormati perlembagaan persekutuan kerana tidak melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

"Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut perlembagaan," katanya.

Muhyiddin pada 22 Nov 2022 selepas menolak tawaran membentuk kerajaan perpaduan

Dalam ucapan pendek tersebar itu, Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa agong sebelum ini tidak mengundangnya mengangkat sumpah perdana menteri walaupun mempunyai sokongan cukup anggota parlimen.

Kenyataan itu turut membuatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka atas tindakan “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi agong.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula menegur seorang pengguna media sosial supaya “ respek (hormat) suami saya, raja saya” dalam isu sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS