Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Johor: Apakah ahli PAS 'dikembiri' lagi untuk PRK DUN Mahkota?
Diterbitkan:  Aug 19, 2024 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

PH Johor hari ini melontarkan pertanyaan jika PAS akan 'mengorbankan' ahlinya bagi membolehkan Bersatu meletakkan calon di Mahkota tidak lama lagi.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata langkah itu sudah pernah dilakukan PAS di Nenggiri, Kelantan baru-baru ini dan tidak mustahil akan diulangi lagi di Mahkota.

Mengulas kenyataan dibuat PAS Johor yang mengandaikan Amanah Kluang mahu meletakkan calon dalam PRK Mahkota, Aminolhuda berkata, kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan adalah berbeza daripada PN.

"Saya ingin peringatkan pemimpin PAS bahawa Amanah bukanlah seperti parti itu yang meredai ketua pemudanya meninggalkan PAS untuk menyertai Bersatu semata-mata kerana mereka tidak boleh terima calon dari Bersatu yang akan menggunakan lambang ‘bulan’!

"Ini lagi jelas bagaimana Bersatu diperhina dan diperbodohkan oleh PAS sewaktu PRK DUN Nenggiri baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundi di kawasan DUN Mahkota akan memilih pengganti kepada Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain - yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu - pada 28 Sept ini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 14 Sept.

Sebelum ini Amanah Kluang memberi isyarat bahawa mereka berminat meletakkan calon di kerusi tersebut atas alasan kerajaan perpaduan belum terjelma dengan nyata di Johor.

Kenyataan itu dibuat Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain.

Akan tetap bekerjasama

Untuk rekod DUN Mahkota berada di bawah kawasan parlimen Kluang. Satu lagi DUN yang berkongsi kawasan parlimen ialah Mengkibol.

Dalam pilihan raya negeri di negeri itu yang berlangsung pada 12 Mac 2022, Umno-BN merampas kembali kerusi Mahkota daripada Amanah-PH yang memenanginya pada 2018.

Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 5,166 undi mengalahkan pencabar terdekat Muhammad Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Bagaimanapun kepemimpinan tertinggi PH yang bermesyuarat memutuskan Umno-BN akan menjadi calon kerajaan perpaduan di Mahkota.

SPR menyatakan DUN Mahkota mempunyai seramai 66,318 pemilih berdaftar termasuk 4,510 anggota tentera dan pasangan masing-masing.

Dalam PRK Nenggiri baru-baru ini, Bersatu meletakkan bekas Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, sebagai calon mewakili PN.

Mohd Rizwadi meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu dua hari sebelum PN membuat majlis pengumuman calon.

Aminolhuda berkata parti-parti dalam kerajaan perpaduan mengamalkan dengan jelas konsep perbincangan peringkat tertinggi sebelum membuat keputusan.

“Adakah sekali lagi calon Bersatu yang akan mewakili PN dalam PRK DUN Mahkota akan dikembirikan daripada ahli PAS yang akan menyertai Bersatu dalam tempoh dua hari sebelum penaman calon?” katanya.

Ahli Parlimen Sri Gading itu juga berkata Amanah dan PH Johor akan bekerjasama dengan Umno dalam PRK Mahkota nanti.

“Kami akan terus bersama menghadapi PRK DUN Mahkota sebagaimana kami bersama-sama menghadapi PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai tahun lepas," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS