mk-logo
Berita
Tumbuk OKU: Bila AGC nak dakwa polis pengiring TMJ, soal MP
Diterbitkan:  Aug 19, 2024 12:06 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya segera mendakwa anggota polis pengiring kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Serangan oleh polis ini telah dirakamkan dalam video, menjadikannya kes itu cukup jelas. Jadi, kenapa mengambil masa begitu lama?

"Sudah tiga bulan dan Peguam Negara masih belum buat keputusan sama ada untuk mendakwa pegawai tersebut (atau tidak) atas tuduhan menyerang.

"Apa punca kelewatan ini," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Lim Lip Eng

Sementara itu, Lim turut menyuarakan kebimbangan mengenai pemahaman Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain tentang prinsip "double jeopardy" (pendakwaan dua kali).

Ini susulan kenyataan terkini oleh pegawai tertinggi polis itu berkenaan kes yang melibatkan seorang anggota polis yang didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak.

Lim mengulangi pendirian N Surendran dari Lawyers for Liberty, merujuk Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang pendakwaan terhadap individu sebanyak dua kali untuk kesalahan yang sama.

Ahli parlimen itu menegaskan bahawa peruntukan ini hanya terpakai dalam prosiding jenayah dan bukan dalam siasatan tatatertib dalaman dalam pasukan polis.

"Sukar untuk menerima bahawa Ketua Polis Negara Razarudin Husain tidak menyedari prinsip double jeopardy,” kata Lim.

Lim berkata dia khuatir kekurangan pemahaman sebegini boleh menunjukkan isu yang lebih besar berkaitan kecekapan undang-undang di kalangan anggota polis.

Semalam, Razarudin berkata anggota pengiring polis kepada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didakwa menyerang pemandu e-hailing yang pekak Ong Ing Keong, telah dikenakan tindakan tatatertib, selain kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Razarudin menjelaskan kepada Malaysiakini yang tindakan tatatertib bukan dikenakan ekoran kes serangan itu, tetapi kegagalan anggota berkenaan untuk mengisytiharkan harta.

Dia berkata, kegagalan mengisytiharkan aset menyalahi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan anggota itu telah diberi amaran.

“Jika kita teruskan dengan siasatan dalaman untuk kes serangan yang sama (selain siasatan jenayah terhadapnya), ia akan jadi pendakwaan dua kali,” katanya semalam.

Pendakwaan dua kali, atau double jeopardy, adalah pembelaan prosedural yang melarang mana-mana individu daripada didakwa di mahkamah dua kali untuk jenayah yang sama.

Sementara itu, Lim juga menggesa Razarudin untuk menjelaskan secara terbuka kenyataannya mengenai pendakwaan dua kali dalam konteks prosiding tatatertib yang melibatkan anggota polis berkenaan.

Lim menekankan kepentingan ketelusan dalam menangani dakwaan salah laku polis, menggesa KPN agar tidak menggunakan hujah "double jeopardy" sebagai cara untuk menyembunyikan siasatan.

"Adalah penting bagi KPN untuk menegakkan integriti dan kredibiliti pasukan polis.

"Beliau harus menangani perkara ini secara telus, dan bukannya berlindung di sebalik hujah 'double jeopardy' untuk mengaburkan siasatan terhadap dakwaan salah laku polis," tegas Lim.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS