Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolong respek, suami saya raja saya - Tunku Azizah
Diterbitkan:  Aug 19, 2024 8:56 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan seorang pengguna media sosial supaya menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengguna media sosial yang menggunakan akaun ’samdoria’ menulis ”Respect lagi Tan Sri Muhyiddin” ketika mengulas komen dalam hantaran Facebook Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy menzahirkan kekecewaan dengan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ketika berkempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.

“Tolong respek (hormat) suami saya raja saya,” tulis Tunku Azizah Aminah ketika membalas komen berkenaan.

Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Ceramah itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.

Susulan itu, Wan Rosdy, semalam, menggesa pihak berkuasa supaya segera bertindak ke atas Muhyiddin yang didakwa biadab terhadap Sultan Pahang.

Naib Presiden Umno itu berkata, tindakan terhadap Muhyiddin penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS