Penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran mengkritik penjelasan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berhubung tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang dirakam menyerang pemandu e-hailing OKU.
Surendran berkata penjelasan Razarudin bercanggah dan secara asasnya salah - terutama berhubung pendakwaan dua kali.
“Kenyataan terbaru Razarudin membingungkan dan bertentangan. Pada Jumaat, dia kata tindakan tatatertib telah diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam serangan.
“Hari ini, dia kata tindakan tatatertib terhadapnya adalah untuk hal berbeza, tidak berkaitan dengan kes serangan.
“Seluruh negara diberi tanggapan salah yang tindakan tatatertib adalah untuk kes serangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemahaman salah tentang pendakwaan dua kali
Terdahulu hari ini, Razarudin memberitahu Malaysiakini anggota itu dikenakan tindakan tatatertib, iaitu amaran, kerana gagal mengisytiharkan harta dan bukan kerana kes serangan seperti yang dibayangkan sebelum ini.
Dia menjelaskan tindakan menjalankan siasatan dalaman serta siasatan jenayah untuk kesalahan yang sama bersamaan dengan pendakwaan dua kali.
Bagaimanapun, Surendran yang juga peguam kepada mangsa berkata pemahaman itu adalah salah.
“Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan individu tidak boleh dibicarakan dua kali atas kesalahan sama, yang hanya terpakai untuk kesalahan jenayah. Ia tidak melarang inkuiri disiplin dan hukuman peringkat dalaman,” katanya.
Katanya lagi, dengan adanya bukti yang jelas, tugas polis dan pihak pendakwaan adalah untuk mengambil tindakan disiplin dan melakukan pendakwaan jenayah untuk kes itu.
Walaupun membangkitkan isu pendakwaan dua kali, Razarudin pada masa sama berkata tindakan akan diambil jika anggota itu disabit bersalah dalam kes serangan tersebut.
Dia juga berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bulan lalu untuk tindakan lanjut.
Pada Mei lalu, pemandu e-hailing Ong Ing Keong memfailkan laporan yang mendakwa seorang polis yang mengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menyerangnya di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Pada Rabu lalu, Ong dan peguamnya mendedahkan video insiden itu selain membangkitkan kelambatan proses keadilan bagi kes itu.