Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Polis pengiring kena tindakan sebab tak isytihar aset, bukan kes serang pemandu’

Anggota polis yang dirakam menyerang seorang pemandu e-hailing OKU dikenakan tindakan disiplin atas isu yang berlainan, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Namun, Razarudin memberitahu Malaysiakini yang kertas siasatan bagi kes serangan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bulan lalu untuk tindakan lanjut.

Pada Mei lalu, pemandu tersebut, Ong Ing Keong membuat laporan polis yang mendakwa seorang polis pengiring kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pada Rabu lalu, Ong dan peguamnya mendedahkan video insiden itu selain membangkitkan kelambatan proses keadilan bagi kes itu.

Susulan itu, Razarudin dipetik Berita Harian sebagai berkata, tindakan tatatertib telah diambil, selain kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketika dihubungi hari ini, Razarudin menjelaskan kepada Malaysiakini yang tindakan tatatertib bukan dikenakan ekoran kes serangan itu, tetapi kegagalan anggota berkenaan untuk mengisytiharkan harta.

Dia berkata, kegagalan mengisytiharkan aset menyalahi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan anggota itu telah diberi amaran.

“Jika kita teruskan dengan siasatan dalaman untuk kes serangan yang sama (selain siasatan jenayah terhadapnya), ia akan jadi pendakwaan dua kali,” katanya.

Pendakwaan dua kali, atau double jeopardy, adalah pembelaan prosedural yang melarang mana-mana individu daripada didakwa di mahkamah dua kali untuk jenayah yang sama.

Bagaimanapun, Razarudin berkata tindakan akan diambil jika anggota terlibat disabit bersalah di mahkamah.

Berhubung siasatan jenayah, dia berkata polis telah menyerahkan kertas siasatan pada Jun lalu.

“Mereka serahkan semula kertas siasatan untuk polis tambah laporan kesihatan penuh dan kami hantar semula kertas siasatan lengkap kepada AGC pada 27 Julai dan sedang menunggu langkah seterusnya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS