PULASAN | Asalnya hanya imej pegun Gabriel Medina yang mencuri banyak mata di seluruh dunia. Ada kemungkinan ia menjadi antara gambar ikonik yang menenangkan dan 'sedap' dikenang-kenang sempena Olimpik Paris itu.
Kemudian muncul pula siri gambar yang menjadikan Paris 2024 lebih bermakna. Misalnya kontradiksi di lapang sasar di antara Yusuf Dikec dengan penembak lain terutama Ye-ji Kim.
Tidak ketinggalan disoroti, bagaimana penganjur dan orang ramai mentafsir kemunculan petinju Algeria, Imane Khelif, dan aksi 'epik' si Raygun aka Rachel Gunn yang terbang dari jauh dari Australia untuk beraksi dalam acara breakdancing tanpa mendapat apa-apa makna di mata juri.
Untuk mengimbangi segala macam kekalutan itu, Paris menampilkan Snoop Dog yang terus-menerus 'terbang tinggi' di udara.
Kemudian kita dipertontonkan dengan aksi spontan, comel dan mencairkan daripada atlet berusia 18 tahun dari China, Zhou Yaqin.
Dia gagal menyembunyikan rasa terkejut dan hairan apabila dua atlet Itali, Alice D’Amato dan Manila Esposito - yang berada di tempat pertama dan ketiga - menggigit pingat masing-masing.
Ia mendorong atlet gimnastik kelahiran Hengyang di Hunan itu meniru aksi Alice, 21, dan Manila, 17, untuk rakaman lensa kamera.
Tetapi bukan itu saja aksi bersahaja namun bergaya di sepanjang temasya Olimpik. Bagi acara bola tampar pantai, ada dua wanita Mesir beraksi sambil menyanggah kelaziman. Mereka tampil berseluar panjang, berbaju T dan bertudung.
Sorotan jutaan mata
Namun yang lebih banyak menarik perhatian ialah Sifan Hassan.
Pelari jarak jauh itu mengerah kudrat mewakili Belanda, dan di Paris dia memenangi pingat emas bagi acara maraton.
Namun insiden yang menghantar mesej lebih kuat bukanlah tenaga yang ditunjukkannya bagi memenangi acara sukan, tetapi bagaimana Sifan melangkah ke podium untuk menerima pingat.
Di sebalik cengkaman pihak penganjur, dia mencabar kuasa itu bukan saja dengan selamba tetapi penuh bergaya. Dia menutup kepalanya sekali gus menjelirkan lidah kepada tuan rumah.
Sifan bukan sembarangan atlet. Dia sosok bertaraf dunia, justeru sebarang aksinya akan menjadi sorotan jutaan mata. Dan dia menggunakan kelebihan itu untuk 'melawan' dengan cara tersendiri.
Lebih daripada itu dia melawan selepas membuktikan kemampuannya.
Berbanding dengan kebanyakan kita yang terasa sebagai bangsa agung, kehebatan kita kadang-kadang sekadar menjual air liur dan dongeng tanpa sedikit pun asas.
Sudahlah ia dijaja semahu-mahunya oleh orang bergelar, disambut pula oleh agamawan yang mengejar populariti. Tapi ilmu dan manfaatnya kosong.
Penjaja kisah karut
Sudah tentulah kita tidak mengharapkan mereka - ahli akademik atau agamawan, misalnya - berlumba lari, atau melontar lembing, atau berenang. Terlalu banyak hal yang boleh mereka lakukan bagi manfaat orang sekeliling.
Ia boleh dimulakan dengan menunjukkan adab yang terbaik. Sebagai kumpulan yang mahu menjulang bangsa yang dirasakan begitu hebat, adab adalah faktor utama yang perlu dikedepankan berbanding kisah-kisah khayal atau mimpi keramat merapu.
Apakah kaitan di antara golongan penjaja kisah karut, semangat bangsa dan Olimpik ini?
Begini. Sesuatu bangsa atau sesebuah negara lain tidak akan mempedulikan ceritera kamu yang - kalau ditanya bukti - sekadar memberikan reaksi tumpul selaksana "tak mahu percaya, sudah" atau sebarang ungkapan mahu membonsaikan akal.
Bagaimana mahu melakar bangsa yang hebat jika berhujah secara akademik pun tidak mampu? Apa lagi menunjukkan adab yang disegani di sebalik pelbagai nama atau gelaran yang kamu bawa.
Bercakap besar atau menunjukkan sikap besar kepala saja yang kamu tahu.
Lihat bagaimana Arshad Nadeem dengan selamba mengejutkan dunia.
Ketika kamu dan pengagum kamu bercerita tentang kucing yang tidak memijak tanah semasa turun dari Gunung Jerai, dia gigih memerah kudrat sekali gus membanggakan rakyat Pakistan dengan bukti kemampuan yang nyata.
Kita? Teruslah terhukum dek kejahilan yang semakin tinggi tingkatnya. Ia kemudian diketawakan oleh bangsa dan negara lain. Paling malang kejahilan itu dibina lalu diperkukuhkan oleh manusia yang sepatutnya mencerdaskan.
Kita bercakap banyak ketika orang lain menunjukkan bukti dengan tindakan.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang sedang cuba mengesan di mana lokasi obor dibawa dari Sungai Bakap ke Nenggiri.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.