Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rampas Nenggiri rangsangan moral penting k'jaan perpaduan - Umno
Diterbitkan:  Aug 18, 2024 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang antara lain memperlihat sokongan pengundi Melayu kembali kepada parti itu, menjadi rangsangan moral penting kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki berkata ia seperti dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan parti itu dan BN sebagai tunjang utama Kerajaan Perpaduan bagi meraih kembali sokongan Melayu yang selama ini dilihat menjauhkan diri.

“Secara khususnya, Umno dan BN ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana beliau amat mengikuti (PRK ini) secara dekat dan membantu kami dalam pelbagai aspek.

“Bahkan Perdana Menteri sentiasa menghubungi Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan untuk memastikan kemenangan ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam tadi.

Terdahulu, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan menang dalam PRK itu dengan majoriti besar 3,352 undi.

Ketua Pemuda Umno Kelantan itu memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

Asyraf Wajdi juga berkata kemenangan di Nenggiri adalah di luar jangkaan yang menyaksikan saluran anak muda berpihak kepada BN termasuk di pusat daerah mengundi yang sebelum ini dikuasai PAS.

“Saya melihat mereka turun berkempen serta memberikan sokongan dan yang paling penting, kita tidak jangka pengundi-pengundi (yang menetap di) luar (DUN) yang selama ini (secara) tradisinya lebih berpihak kepada PAS... ramai beri sokongan kepada BN,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub pula berkata kemenangan itu menunjukkan sokongan Melayu kembali kepada parti berkenaan dan BN kerana hampir 100 peratus daripada 20,259 pengundi di DUN tersebut adalah orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi BN Kelantan itu berkata kejayaan tersebut juga adalah satu pengharapan amat besar daripada rakyat Nenggiri yang inginkan pembelaan daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kejayaan ini juga adalah satu ujian kepada Mohd Azmawi Fikri yang telah berjaya menambat hati pengundi bukan sahaja dengan sifat beliau yang lemah lembut, selalu membantu dan yang penting, beliau adalah figura baru Umno di Kelantan.

“Kita mempunyai perjalanan agak panjang selepas ini, sudah tentu kita mesti tunaikan apa yang kita dengar daripada rakyat, apa yang dimohon oleh rakyat,” katanya sambil menambah DUN Nenggiri boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk Umno dan BN bangkit di Kelantan.

Ditanya mengenai faktor kejayaan itu, Ahmad Jazlan yang juga Pengarah Operasi BN bagi PRK DUN Nenggiri, berkata pemilihan calon yang tepat dan pengumuman lebih awal adalah antara resipi kemenangan selain strategi kempen agak berlainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Apabila orang tanya saya mengapa kali ini kelainan agak jelas kerana tiada manifesto sedangkan pihak lawan mengumumkan manifesto dalam ceramah yang begitu besar.

"Saya kata manifesto Awie (Mohd Azmawi Fikri) hanya satu iaitu berkhidmat kepada rakyat sekiranya rakyat memberi sokongan. Itulah manifesto paling berharga," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS