Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukang tilik ditahan berhubung kes rogol
Diterbitkan:  Aug 17, 2024 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Polis menahan seorang tukang tilik bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita dalam kejadian di Puchong, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan pada 11.15 malam semalam di Puchong.

Wan Kamarul Azran berkata mangsa membuat laporan berhubung kejadian rogol membabitkan dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira 1.54 pagi pada Jumaat.

“Pengadu mengenali suspek melalui media sosial yang dipercayai boleh menilik nasib dan membuang nasib buruknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek kini direman selama lima hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, tambah beliau.

“Pihak polis menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini,” katanya.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa menjadi mangsa rogol tukang tilik berkenaan sejak setahun lepas.

Wanita yang dikenali sebagai Linda berkata dia pada mulanya terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan lelaki itu menerusi iklan di media sosial bagi mengubah nasib hidupnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS