Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH sah tak tanding PRK DUN Mahkota, beri laluan pada BN
Diterbitkan:  Aug 17, 2024 2:35 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

PH hari ini mengumumkan gabungan parti kerajaan itu bersetuju memberi ruang kepada BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota, Johor akan datang.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim.

“Kepemimpinan tertinggi PH telah bermesyuarat pada minggu lepas dan bersetuju dengan keputusan bahawa kerusi DUN Mahkota tidak ditandingi oleh calon PH pada pilihan raya kecil nanti.

“Adalah juga dipersetujui bahawa PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi “incumbent” seperti mana Barisan Nasional berbuat serupa ketika pilihan raya kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari.

“PH akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN akan bertanding pada PRK DUN Mahkota pada 28 Sept depan.

Presiden Umno itu turut memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesuatu parti.

Sebelum ini, Amanah Kluang menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan menerusi ketuanya, Mohd Zuhan Mohd Zain.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, meskipun pada umumnya parti itu sedia memberi laluan kepada parti dalam kerajaan perpaduan yang menjadi penyandang untuk dicalonkan dalam mana-mana PRK, namun pendirian tersebut bukanlah muktamad.

Sementara itu, Pemuda Umno Johor mengalu-alukan serta menghargai pendirian rasmi PH untuk memberi laluan kepada BN bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata pendirian itu cerminan kepada kesungguhan serta komitmen PH untuk terus menyuburkan semangat perpaduan di Johor secara bermuafakat.

"Untuk itu, Pemuda Johor menyeru agar semua pimpinan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya di Johor, untuk fokus memenangkan PRK di DUN Mahkota, dengan mengulangi kejayaan manis memenangkan calon-calon perpaduan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 2023.

"Fokus dan tumpuan seluruh jentera parti kerajaan adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai segala usaha yang pimpinan kerajaan sedang ambil untuk memberi kehidupan yang lebih baik buat seluruh rakyat, baik usaha di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Amanah yang mewakili PH, PN dan Warisan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS