Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis ini, mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tiga ikhtiar untuk menjayakan reformasi itu ialah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam; meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan; dan meningkatkan daya saing negara.
“Saya tidak mahu ada andaian di luar kita hanya nak menarik minat dan sokongan penjawat awam, kita ambil keputusan ini (melaksanakan SSPA) kerana kita anggap ini keputusan yang adil untuk penjawat awam.
“Maka SSPA mesti diukur berdasarkan produktiviti dan sumbangan secara langsung kepada kecekapan penjawat awam di semua peringkat, desa kota kecil, bandar dan kota raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata kerajaan telah bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada SSPA, setelah mengambil kira pelbagai faktor dan melaksanakan pertimbangan yang teliti serta berhemah.
Dalam aspek mengoptimum sumber dan peningkatan produktiviti, Anwar berkata kerajaan telah bersetuju dengan beberapa perkara, antaranya meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia atau setara.
Beliau berkata justeru itu, beban dan kompleksiti tugas sedia ada juga akan ditambah dan ditingkatkan, yang secara tidak langsung akan menggalakkan penugasan berbilang (multitasking) dan kemahiran berbilang (multi-skilling) dalam kalangan pegawai.
Anwar juga mahu sistem perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain, kerana ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang.
“Kita warisi dah 60 tahun, kadang-kadang jabatan yang sudah tak relevan kita kekalkan juga, agensi-agensi puluhan yang sudah tidak relevan kita samakan, sebagai contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wireless dan jurusolek, itu masih dikekalkan.
“Jadi hal in harus diseragamkan, bukan maknanya ditiadakan petugas sedia ada, tapi diseragamkan supaya tidak ada pembaziran, ini yang disebutkan perubahan berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam,” katanya.
- Bernama