Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesara TUDM didakwa terima RM300,000 untuk bina rumah
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar jeneral mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menerima wang RM300,000 antara 2021 hingga 2022 sebagai bayaran membina sebuah rumah.

Zainal Abdul Manaf, 61, didakwa sebagai penjawat awam iaitu Asisten Ketua Staf Material TUDM di Kementerian Pertahanan, menerima untuk diri sendiri pembayaran pembinaan rumah iaitu RM200,000 dan RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wangsa Delima 11, D’Wangsa, Wangsa Maju pada 22 Dis 2021 dan 15 Mac 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas menawarkan kepada mahkamah jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bersama itu syarat tambahan iaitu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Simret Singh yang mewakili Zainal kemudian memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000 atas alasan anak guamnya itu memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan, selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam saya kini merupakan pesara tentera TUDM dan beliau dan isteri menghidap penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan susulan di hospital, selain perlu menanggung keluarga,” kata peguam itu.

Hakim Suzana Hussin membenarkan Zainal diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Sept ini untuk sebutan kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS