Sebuah badan amal New Zealand yang bekerja untuk gelandangan di Auckland secara tidak sengaja mengedarkan 'gula-gula' berisi methamphetamine - bahan yang berpotensi membawa maut - dalam bungkusan makanan selepas disumbangkan oleh orang awam.
AP memetik Auckland City Mission sebagai berkata, pekerja mereka sudah menghubungi hingga 400 orang untuk menjejaki bungkusan tersebut yang mungkin mengandungi 'gula-gula' terbabit yang terdiri daripada pepejal methamphetamine.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini, tiga orang yang dirawat di hospital selepas memakan ‘gula-gula’ berkenaan, sudah dibenarkan pulang.
Yayasan Dadah New Zealand, organisasi yang menjalankan pemeriksaan mendapati jumlah dos methamphetamine dalam setiap 'gula-gula' berkenaan adalah hingga 300 kali ganda paras biasa diambil seseorang yang boleh mengakibatkan maut.
Jurucakapnya, Ben Birks Ang berkata, kaedah penyamaran dadah sebagai bahan tidak berbahaya adalah teknik biasa digunakan untuk penyeludupan merentas sempadan.
Katanya, 'gula-gula' tersebut mungkin sudah diedarkan di seluruh New Zealand.
Menurut Birks Ang, setiap 'gula-gula' berkenaan bernilai sebanyak AS$608 (MYR 2,698.91), hal itu sekali gus mencadangkan sumbangan dibuat oleh seorang orang awam terbabit adalah tidak disengajakan.
Detektif Glen Baldwin berkata, persepsi awal pihak berkuasa adalah berkemungkinan berlakunya kesilapan pada rancangan pengimportan, namun, sifat dan skala operasi sebenar tidak diketahui.
Menurutnya, pegawai mereka menemui 29 ‘gula-gula’ itu tetapi tidak mengetahui berapa banyak sudah diedarkan.
Tambahnya, polis sedang menyiasat laporan berhubung cubaan seseorang untuk menjual ‘gula-gula’ tersebut secara dalam talian.
Pegawai polis, Helen Robinson berkata, lapan keluarga termasuk sekurang-kurang seorang kanak-kanal dilaporkan memakan 'gula-gula' tercemar itu sejak 13 Ogos lalu.
Bagaimanapun, katanya, rasa yang memualkan menyebabkan kebanyakan daripada mereka meludah bahan tersebut.
Menurut Helen, bank makanan hanya menerima sumbangan makanan yang dihasilkan secara komersial dalam bungkusan tertutup.
Katanya, gula-gula nanas yang dicop dengan label jenama Malaysia, ‘Rinda’ tiba dalam beg bersaiz runcit kelihatan seperti itu sewaktu ia didermakan.
Glen berkata, Auckland City Mission dimaklumkan pada 13 Ogos lalu oleh seorang pelanggan bank makanan yang melaporkan ‘gula-gula rasa pelik’.
Menurutnya, pekerja kemudian memakan baki gula-gula tersebut dan kemudian segera menghubungi pihak berkuasa.
Katanya, seorang daripada pekerja dibawa ke hospital selepas memakan sampel gula-gula berkenaan.
Pengurus Besar Rinda, Steven Teh dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat terbabit mengetahui gula-gula jenamanya mungkin telah disalahgunakan melalui laporan-laporan berita dipaparkan di New Zealand.
“Kami mahu menjelaskan bahawa Rinda Industries tidak menggunakan atau menyokong penggunaan bahan terlarang dalam produk kami,” katanya.