Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes samun? Punca kematian Nidza diketahui lepas bedah siasat - IGP
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 2:12 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Polis belum dapat mengklasifikasikan kematian Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang mayatnya ditemukan di Sungai Klang petang semalam sebagai kes jenayah atau sebaliknya sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya bergantung kepada keputusan hasil bedah siasat sebagai petunjuk arah siasatan memandangkan belum ada saksi yang tampil memberikan maklumat berhubung penemuan mayat itu.

“Kes masih dalam siasatan dan kita dapat lihat telefon bimbit mangsa masih ada, cuma kad bank sahaja yang hilang.

"Jadi, kita tunggu hasil siasatan daripada bedah siasat…dari situ baru boleh kesan punca dan membantu kita untuk tindakan seterusnya,” katanya mengulas sama ada kes kematian penyanyi itu berkemungkinan disebabkan samun.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kali Kesembilan 2024 di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) merangkap Komandan Kor SUKSIS UiTM Prof Dr Mohd Sazili Sahibi dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Razarudin berkata proses bedah siasat masih berjalan di Hospital Shah Alam dan dijangka selesai petang ini.

Semalam, mayat penyanyi dan Youtubers berusia 23 tahun itu ditemukan di Sungai Klang pada kira-kira 7.30 petang selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu ketika keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman Klang seorang diri.

Adiknya Afrina Hanie mendakwa kehilangan abangnya berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar yang disimpan dalam dompet tidak terusik ketika ditemui di atas Jambatan Sungai Klang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS