Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MBS jadi PBT pertama di N Sembilan guna kamera badan
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyediakan 12 unit kamera badan dengan peruntukan RM100,800 untuk digunakan anggota penguat kuasanya sepanjang tempoh bertugas, bermula awal bulan ini.

Datuk Bandar Seremban, Masri Razali, berkata anggota penguat kuasa MBS adalah kumpulan pertama di negeri itu yang bertugas menggunakan kamera badan bagi tempoh lapan jam secara terus.

Katanya pemakaian itu termasuk semasa mereka melakukan operasi penguatkuasaan terancang.

"Penggunaan alat ini penting bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, sekali gus boleh dijadikan sebagai bukti jika berlaku sebarang aduan mahupun masalah integriti," katanya pada sidang media selepas pelancaran penggunaan alat tersebut di Seremban hari ini.

Masri berkata kamera badan itu mampu merakam video dengan kualiti tinggi, selain rakaman suara perbualan penguat kuasa sepanjang bertugas.

Katanya dengan kemudahan itu mereka dapat memberikan bukti yang boleh dipercayai dalam siasatan dan prosiding undang-undang.

Menurut Masri MBS juga telah menetapkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan, penyimpanan serta pengurusan data yang diperolehi melalui kamera badan itu.

Katanya anggota penguat kuasa MBS tidak boleh memadam data dalam kamera tersebut dengan mudah.

"MBS yakin dengan adanya kamera badan ini akan membina kepercayaan yang lebih kukuh antara masyarakat dalam kawasan bandar raya Seremban, selain dapat memastikan setiap tindakan penguatkuasaan adalah adil, telus dan professional," katanya.

MBS menggunakan kaedah sewa guna daripada syarikat pembekal, Tekknikom Elektronik Sdn Bhd, bagi tempoh kontrak selama dua tahun bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Julai 2026.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS