Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes bunuh Cikgu Istiqomah diserah ke PPN hari ini
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan kejam guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, akan diserahkan kepada pejabat pendakwaan negeri (PPN) hari ini untuk arahan lanjut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata PPN dijangka mengeluarkan arahan pendakwaan sama ada petang ini atau esok, dan seorang suspek dijangka dibawa ke mahkamah selewat-lewatnya Isnin depan.

"Ketua Polis Melaka (Zainol Samah) dijangka mengeluarkan siaran media khas dan kami akan maklumkan juga bila suspek akan dituduh di mahkamah," katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada pemberita di Melaka hari ini.

Pada 6 Jan lalu media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira pukul 2 petang.

Selepas kira-kira lapan bulan berlalu, Isnin lepas Ashari mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Susulan itu Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS