Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Pengharaman komik 'Superman Hew' bukan dibuat sewenangnya

Kerajaan wajar menilai semua pembatalan pengharaman komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, menurut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata komik itu diharamkan ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2019, antaranya atas dasar ia membawa ideologi komunisme dan sosialisme.

"Saya tak tahu ada keputusan mahkamah ke apa, tapi faktanya dulu komik itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke sekolah kerana ada eleman tertentu (seperti) komunisme, sosialisme yang tak sesuai dengan tata budaya kita.

"Sebab itu mungkin wajar ketua Pemuda Umno (meminta) supaya kerajaan menelitinya semula (perkara itu). Ini bukan soal kecil (tapi) melibatkan keselamatan negara, isu soal masa depan anak-anak kita," katanya ketika ditemui di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, petang tadi.

Muhyiddin hadir ke sana bagi menyertai kempen PN dalam PRK DUN Nenggiri.

Pembatalan larangan buku itu dinyatakan dalam warta kerajaan yang diterbitkan semalam dan ditandantangani Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pada 26 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan komik itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan langkah kerajaan yang membatalkan pengharamannya.

Kementerian Dalam Negeri dalam perintah larangan pada 2019 menyatakan keputusan itu dibuat kerana komik itu mengelirukan pembaca serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Malaysia yang bersimpati dengan etnik Uighur di China - yang dikatakan ditahan di "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".

Muhyiddin menegaskan keputusan kerajaan mengharamkan komik tersebut dahulu bukan dibuat sewenang-wenangnya.

"Kita haramkan dulu atas sebab-sebab (yang dinyatakan) tadi. Kita bukan buat keputusan sewenangnya, ada jawatankuasa yang menimbang dan berpendapat ini tidak boleh dibenarkan.

"Sekarang sudah diterbalikkan keputusan itu, jadi elok diteliti semula," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS