Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah projek lebuh raya RM1.6 bilion: SPRM perlu keterangan 50 saksi lagi

SPRM perlu merakamkan keterangan 50 saksi lagi bagi membantu siasatan terhadap pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya yang sebelum ini ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion berhubung pembinaan dua projek lebuh raya  di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata  setakat ini 11 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 11 individu ditahan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit.

"Tadi saya mendapat makluman kertas siasatan sedang giat dilengkapkan oleh pegawai siasatan yang setiap satu siasatan memerlukan tambahan lima hingga enam orang saksi lagi.

"Kalau 11 kertas siasatan maksimum dalam 50 orang saksi yang perlu dipanggil memberi keterangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Azam berkata pihaknya juga memerlukan banyak keterangan daripada pihak-pihak lain antaranya daripada pihak kontraktor.

Hadir sama  Akauntan Negara Nor Yati Ahmad, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Patimah Ramuji dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  Institut Akauntan Malaysia (MIA) Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Terdahulu, media melaporkan melaporkan lapan individu termasuk seorang CEO dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman oleh SPRM kerana disyaki meminta serta menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang, pada Jun dan Julai lepas.

CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi itu dan lima lagi individu yang juga pemilik sebuah syarikat direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azam berkata siasatan terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) masih berjalan dan memerlukan banyak input daripada pelbagai pihak.

“Semua isu yang dibangkitkan (Laporan Ketua Audit Negara-LKAN) akan disiasat. Pegawai pegawai SPRM memaklumkan mereka perlu banyak masa untuk siasat berkaitan pelaburan dan sebagainya.

“Siasatan kita bukan sahaja berkaitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa tetapi kita juga melihat kepada sistem dan prosedur yang mana ia perlu dikaji betul-betul apabila dalam LKAN yang banyak menyentuh isu tatakelola,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 individu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan isu tadbir urus HRD Corp selain pegawai penyiasat SPRM telah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di Kuala Lumpur.

Menurut LKAN Siri 2/2024, terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh HRD COrp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS