Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Kelantan nafi edar arak untuk Orang Asli di Nenggiri

Susulan tular video ada individu mendakwa PAS sengaja membawa masuk arak ke kawasan Orang Asli di Nenggiri, Pemuda PAS Kelantan hari ini tampil menafikan perkara itu dengan membuat laporan polis.

Ketuanya, Mohd Kamal Mohamed, membuat laporan itu terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwanya melemparkan tuduhan tersebut terhadap PAS.

Mohd Kamal mendakwa pempengaruh terbabit membangkitkan tuduhan itu menerusi satu video di TikToknya.

"Video itu mengandungi ucapan seorang individu Orang Asli dan tulisan tertera Pemuda Pas Beri Arak Kepada Orang Asli dengan latar belakang bendera PAS.

"Video ini bagi kami untuk memfitnah PAS dengan dakwaan sedemikian.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya dan meminta pihak polis menyiasat serta mengambil tindakan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, hari ini.

Terdahulu melalui satu video TikTok seorang lelaki Orang Asli membuat dakwaan bahawa ada Pemuda PAS memberikan masuk minuman keras kepadanya.

Dakwa individu terbabit, tujuan minuman keras itu dibawa ke kawasan petempatan Orang Asli adalah untuk memastikan mereka tidak dapat keluar untuk mengundi nanti.

Tambah lelaki berkenaan mereka tidak meminta minuman keras berkenaan.

Video berkenaan kini sedang tular di media sosial.

Mohd Kamal mendakwa, pempengaruh berkenaan turut membuat tuduhan kepada PAS kononnya kerajaan negeri memberi kelulusan teroka hutan di Gua Musang tahun ini sebanyak 13,354 hektar.

Berhubung tuduhan berkait kelulusan penerokaan hutan, Mohd Kamal berkata Pemuda PAS Kelantan menyerahkan kepada peguam parti untuk tindakan selanjutnya.

"Kami buat laporan polis ini sebab nak proses pilihan raya kita bersih, tidak ada tohmahan dan tuduhan jahat dengan tujuan untuk menarik undi," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS