Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anak lelaki Lim Guan Eng menolak dakwaan bahawa dia ditahan ketika cuba memasuki Singapura dengan wang tunai sebanyak RM2 juta yang tidak diisytiharkan empat tahun lalu.

Clint Lim memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tiada di mana-mana berhampiran Lapangan Terbang Changi, dan sebaliknya berada di rumahnya di republik itu pada 29 Feb 2020.

"Walaupun saya berada di Singapura pada 29 Feb 2020, tetapi saya tidak berada berhampiran Lapangan Terbang Changi. Pada ketika itu, saya bekerja di sebuah syarikat sebagai penganalisis hartanah.

"Seingat saya, 29 Feb 2020 jatuh pada hari Sabtu. Itu hari cuti. Saya mungkin ada di rumah atau keluar dengan kawan-kawan.

"Saya tid

ak ada di Lapangan Terbang Changi atau di mana-mana berhampirannya," kata Clint dalam keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah hari ini.

Clint juga menambah bahawa dia berada di rumahnya di Singapura kerana wabak Covid-19 yang melanda ketika itu.

Lim yang juga bekas menteri kewangan dan Clint menyaman penulis blog politik, Muhammad Wan Azri Wan Deris kerana memfitnah.

Clint mendakwa dia difitnah atas dakwaan pihak berkuasa Singapura telah menahannya bersama wang yang tidak diisytiharkan.

Guan Eng pula mendakwa dia difitnah berhubung dakwaan bahawa dia kemudiannya terbang ke Singapura untuk menyelamatkan anaknya itu.

Guan Eng menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada Azri, yang lebih dikenali sebagai Papagomo.

Saman sivil itu adalah berkaitan hantaran Facebook bertarikh 14 Mac 2020.

Semasa perbicaraan penuh di hadapan pesuruhjaya kehakiman Eddie Yeo semalam, Lim menegaskan bahawa ketua polis negara ketika itu, Abdul Hamid Bador menolak dakwaan penahanan itu.

Semasa disoal balas oleh peguam Azri, Logen Eskander Abdullah hari ini, Clint menjelaskan bahawa dia terbang ke Singapura pada 20 Feb 2020, dan bukannya sembilan hari kemudian.

Ketika diasak Logen, Clint mengakui bahawa dia tidak akan menghubungi rakan-rakan yang didakwa bersamanya empat tahun lalu untuk mengesahkan keberadaannya kerana rakannya bekerja di Singapura sekarang.

Clint juga bersetuju bahawa semasa dia menyaman Azri di mahkamah, dia percaya penulis blog itu tidak pernah didakwa di mahkamah di Malaysia atas dakwaan fitnah itu.

Azri membangkitkan pembelaan justifikasi dan ulasan yang adil sebagai pembelaan alternatif kepada dakwaan utama bahawa hantaran dalam talian itu berasal daripada akaun yang bukan di bawah kawalannya.

Guan Eng diwakili peguam Simon Murali, manakala peguam Logen Eskander Abdullah mewakili Azri.

Perbicaraan disambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS