Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan setuju pajak tren dari China dengan anggaran kos RM10.7 bilion

Jemaah menteri bersetuju melaksanakan strategi baru perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian keretapi KTMB dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China (PRC).

Menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa ini tren-tren penumpang terutamanya untuk perkhidmatan ETS dan KTM Komuter menghadapi cabaran daripada segi ketersediaan dan kebolehpercayaan.

"Pelaksanaan dasar baru ini menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baru di bawah fasa 1 antara tahun 2024 hingga 2027 dengan anggaran kos RM10.7 bilion yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.

"Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak Kerajaan Republik Rakyat China dalam tempoh masa terdekat," katanya pada sidang media bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, merujuk keadaan semasa, jumlah tren yang beroperasi dengan kebolehpercayaan yang tinggi hanya sebanyak 68 set tren penumpang.

Loke berkata tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot.

Justeru, katanya terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada dalam keadaan baik setiap masa.

"Kaedah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa. Selain dapat meningkatkan mutu perkhidmatan keretapi, kadar penggunaan landasan (track utilisation) juga dapat dipertingkatan daripada 30 peratus pada masa sekarang kepada 45 peratus menjelang 2027.

"Selain itu, kaedah pajakan juga akan membantu perancangan aliran tunai yang lebih teratur bagi pihak kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan telah menetapkan sasaran dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019 - 2030 untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.

"Bagi mencapai 80% penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2030, kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan menyasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang.

"Inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara.

"Usaha ini akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS