Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pemandu OKU e-hailing yang mendakwa diserang oleh anggota rombongan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan klip kamera kejadian hari itu yang dikatakan berlaku pada Mei lalu.

Lelaki berusia 48 tahun itu, Ong Ing Keong menangis ketika video menunjukkan dia ditumbuk oleh seorang pengiring ketika penumpangnya baru masuk ke dalam kereta.

Peguamnya, N Surendran berkata, sudah hampir dua setengah bulan kejadian itu berlalu dan melahirkan kekecewaan kerana tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

“Saya tidak tahu apa sebabnya, kerana bukti adalah jelas.

“Tiada siapa yang diheret ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam klip satu minit setengah itu, Ong berada di dalam kereta sepanjang kejadian itu sambil menunggu pelanggannya meletakkan beg mereka di belakang kereta. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin kereta sambil mengarahkannya supaya bergerak.

Pemandu e-hailing pekak itu menggunakan bahasa isyarat cuba memberitahu lelaki bersut itu bahawa dia sedang menunggu penumpang yang masih di luar keretanya. Beberapa saat selepas itu, seorang lagi lelaki berpakaian sut tiba-tiba muncul betul-betul di sebelah tingkap tempat duduk pemandu dan melemparkan satu tumbukan kepada Ong.

Dalam video itu, Ong kelihatan agak terkejut dan tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas selepas diserang. Lelaki pertama itu kemudiannnya dirakamkan mengarahkannya a "jalan, jalan!"

Apabila ketiga-tiga penumpang memasuki keretanya, Ong terus memandu.

“Kita tak sepatutnya buat sidang media seumpama ini, tak patut, siapa sangka perkara seperti ini berlaku apabila laporan dibuat.

"Dan kes itu juga mendapat publisiti meluas, apa yang perlu dilakukan sudah dilakukan tetapi sekali lagi kita terpaksa membuat sidang akhbar untuk menuntut keadilan apabila dia (Ong) sepatutnya mendapat keadilan secara automatik," kata Surendran.

Sambil mengesat air matanya, Ong, melalui jurubahasa bahasa isyaratnya, Lucy Lim, berkata dia masih tertekan walaupun kejadian di sebuah hotel di Kuala Lumpuritu berlaku lebih dua bulan lalu.

"Kenapa saya berani tunjuk muka? Dan kenapa suspek yang polis (sudah) kenali tetapi belum dibawa ke muka pengadilan.

"Dan (wajah suspek) belum didedahkan. Saya memang berasa sangat tertekan dengan sikap berdiam diri yang berpanjangan berhubung kejadian ini," kata Ong.

Ditanya sama ada dia mendapat sebarang rawatan untuk trauma itu, Ong berkata walaupun terdapat sebilangan besar pakar terapi yang boleh menawarkan pakej bahasa isyarat, tetapi kadangkala harganya dua kali ganda kerana halangan komunikasi.

"Di Malaysia terdapat beberapa pakar , terdapat beberapa pakar psikiatri tetapi kebanyakan mereka adalah orang yang mendengar dan walaupun orang pekak kita akan mendapatkan rawatan dengan mereka, harganya adalah dua kali ganda,” katanya.

Hadir bersama Ong ialah pengerusi Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (Fajar), Anothony Chong yang menyokong teguh pemandu e-hailing itu sejak hari kejadian, sambil menegaskan kekecewaannya terhadap keadilan yang tertangguh.

Dia menyifatkan masyarakat pekak tidak menikmati keistimewaan untuk hidup dengan selamat dan aman di negara ini berikutan insiden tersebut.

“Bagaimana kita boleh rasa selamat jika setiap hari kita terpaksa sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS