Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes bunuh datuk, nenek dan cucu direman 7 hari
Diterbitkan:  Aug 14, 2024 2:08 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Suspek utama kes bunuh tiga sekeluarga termasuk ibu bapanya dan bertindak membakar rumah mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat lepas, direman tujuh hari bermula hari ini.

Menurut sumber polis, perintah tahanan reman hingga 20 Ogos terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira 9.13 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Difahamkan lelaki terbabit ditahan ketika merayau-rayau di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira 1 pagi tadi hasil maklumat orang ramai.

Penahanan suspek yang masih bujang itu dilakukan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Terdahulu, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan menggunakan motosikal sebelum meninggalkan motosikal itu di Hentian Bas Bentayan di Muar dan kemudian menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi Jumaat lepas, pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu Noradriana Nor Hisyam, 11, maut setelah kediaman mereka terbakar.

Kejadian itu juga mengakibatkan seorang lagi cucu pasangan itu berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Noradriana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, manakala jenazah Mohamed Nor dan Ara belum boleh dituntut sehingga keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut sebelum mendapati terdapat unsur jenayah dan kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS