Mirzan Mahathir dan abangnya Mokhzani mempunyai tempoh sehingga pertengahan September ini untuk mengisytiharkan harta mereka dan sekiranya gagal, mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ini adalah lanjutan terakhir sebulan yang diberikan kepada mereka.
“Itu keputusan akhir. Jika mereka gagal patuh, SPRM akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya yang dipetik media di Kuala Lumpur.
Pada Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani, yang merupakan anak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, diberikan lanjutan masa, yang tempohnya tidak didedahkan.
Ketika itu, Azam berkata, peguam mereka sedang berhubungan dengan pegawai penyiasat SPRM berhubung tempoh pengisytiharan aset.
“Kami sudah menetapkan tarikh akhir untuk mereka mengisytiharkan harta mereka. Kami telah mencapai kata sepakat mengenai perkara itu,” katanya.
Pada 18 Jan, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.
Pada bulan berikutnya, mereka mengeluarkan kenyataan media yang memohon kesabaran dan pemahaman untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.
Pada 24 Mei lalu, d Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memohon kepada SPRM untuk melanjutkan tarikh akhir untuk kedua-dua mereka mengisytiharkan harta masing-masing selepas diberikan lanjutan sebelum ini.
Turut dilaporkan bahawa Mokhzani disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada April, Azam juga mengesahkan bahawa Mahathir, yang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyasarkan keluarga dan rakan-rakannya, juga sedang disiasat tetapi enggan mendedahkan butiran tambahan.
Ahli politik berusia 99 tahun itu juga menjelaskan bahawa dia tidak ada masalah untuk mengisytiharkan hartanya.