Saksi plaintif dalam kes saman seorang bekas pelajar terhadap seorang guru di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Nurhaizah Ejab mendakwa dirinya dituduh sebagai pengkhianat dan ditakut-takutkan kerana enggan bersubahat dengan defendan.
Nurhaizah yang merupakan guru di SMK Taun Gusi di Kota Belud, Sabah berkata dia ditakut-takutkan selepas enggan mematuhi arahan sekolah agar berdiam diri berhubung isu ponteng sistemik melibatkan defendan, iaitu Jainal Jamran.
Menurut Nurhaizah, dia telah membuat dua laporan polis berkaitan isu tersebut selepas saman difailkan namun mendakwa siasatan tidak diteruskan ekoran kekurangan saksi.
"Di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri, saya telah dituduh sebagai pengkhianat dan diancam akan dikenakan tindakan jika tidak ikut bersubahat dengan defendan.
“Saya ada buat dua laporan…polis tidak mampu teruskan siasatan kerana mereka kata hanya saya satu-satunya saksi dalam kes ini dan ini tidak cukup untuk mereka buat siasatan.
"Mereka juga kata kenal pengetua, Suid Hanapi sebagai bekas guru mereka,” kata Nurhaizah semasa pemeriksaan balas dengan eguam Kanan Persekutuan Jesseca Daimis, semalam.
Pada 30 Oktober 2018, bekas pelajar SMK Taun Gusi Siti Nafirah Siman memfailkan saman terhadap Jainal atas dakwaan ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015. Ketika itu Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di sekolah tersebut.
Selain Jainal, dia turut menamakan SMK Taun Gusi, pengetua sekolah ketika insiden itu berlaku, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Siti Nafirah diwakili oleh peguam Shireen Sikayun, manakala pihak defendan diwakili Jesseca dan dibantu oleh Peguam Persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.
Perbicaraan di depanhadapan hakim Ismail Brahim akan disambung pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.