Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekurang-kurangnya 30 penumpang rakyat Malaysia dan dari negara lain terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Qatar - sesetengah mereka selama lebih 24 jam - selepas penerbangan perkongsian kod Qatar Airways-Malaysia Airlines yang menuju ke Kuala Lumpur dibatalkan dan mengalami kelewatan, menurut sumber di lapangan.

Jurugambar Annice Lyn yang tiba dengan pesawat transit selepas membuat liputan Sukan Olimpik 2024 Paris, memberitahu Malaysiakini bahawa penumpang pada asalnya menempah penerbangan MH165 - yang dijadualkan berlepas semalam dari Doha pada jam 8.05 pagi waktu Qatar, atau 1.05 petang waktu Malaysia.

Penerbangan itu akhirnya dibatalkan tanpa sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pada masa itu oleh pihak berkuasa lapangan terbang mahupun Malaysia Airlines.

Annice berkata, sesetengah penumpang yang terjejas ditawarkan penginapan hotel dan diminta kembali ke lapangan terbang pada tengah malam, untuk penerbangan yang dijadualkan semula pada jam 2.55 pagi waktu Qatar atau 8.55 pagi waktu Malaysia.

Setakat jam 7 petang waktu Malaysia, Annice berkata mereka masih menunggu pengesahan mengenai butiran penerbangan mereka yang telah dikemas kini.

"Saya tiba di lapangan terbang pada jam 6.35 pagi waktu Qatar hari ini dan sepatutnya menaiki penerbangan pada jam 8.05 pagi," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata email daripada MAS memaklumkan penumpang bahawa penerbangan mereka telah dijadualkan semula kepada 8.20 malam ini, tetapi tiada kakitangan daripada syarikat penerbangan itu yang datang untuk menawarkan bantuan kepada mereka.

Apabila dihubungi oleh Malaysiakini, Malaysia Airlines berkata ia kesal dengan kelewatan berterusan penerbangan MH165 dari Doha ke Kuala Lumpur pada 12 Ogos.

"Penumpang telah dipindahkan ke penerbangan yang ditawarkan oleh Qatar Airways, manakala sebahagian daripada mereka ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang di Doha dengan makanan disediakan.

"Ini juga telah menjejaskan penerbangan Kuala Lumpur-Doha-Kuala Lumpur berikutnya antara 13-14 Ogos.

"Malaysia Airlines sedang berusaha keras untuk menyelesaikan isu berkaitan enjin pesawatnya dan komited untuk mengurangkan gangguan lanjut kepada operasinya. Malaysia Airlines memohon maaf kepada penumpang atas gangguan terhadap rancangan perjalanan mereka, dan menghargai kesabaran mereka serta memahami keadaan.

"Keselamatan tetap menjadi keutamaan utama Malaysia Airlines," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 8 malam waktu Malaysia hari ini.

Kekecohan dan tanda tanya

Selain Annice, penumpang lain yang berkongsi pengalaman mereka dengan Malaysiakini juga menceritakan adegan kekecohan dan tanda tanya.

"Saya tiba di Doha pada 13 Ogos untuk transit dari Manchester ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, penerbangan kedua dari Doha ke Kuala Lumpur melalui Malaysia Airlines telah ditangguhkan pada awalnya dari 12 jam, kepada 15 jam kemudian sehingga notis berikutnya," kata Katherine, seorang doktor perubatan yang bertugas di UK.

"Setakat ini kami tidak mendengar apa-apa daripada Malaysia Airlines selain daripada penerbangan kami yang telah dijadualkan semula.

"Tiada alasan untuk ini dan tiada alternatif yang ditawarkan. Ingat, saya menempah ini di bawah Qatar Airlines tetapi mereka telah menyerahkan semua tanggungjawab kepada Malaysia Airlines," tambahnya.

Seorang lagi penumpang Malaysia, Faizal Hamssin, menulis di X dan menceritakan keadaan di sana dengan kanak-kanak dan warga emas antara mereka yang terkesan.

"Ramai kanak-kanak tak boleh tahan; Saya rasa kasihan kepada mereka, dan ibu bapa mereka. Tiada air atau makanan yang ditawarkan kepada pelanggan. Untung bagi kami yang bawa snek!” katanya.

"Jika masalahnya adalah melibatkan pengurusan atau penyelenggaraan A350-900 - apakah @MAS akan lakukan untuk memperbaikinya dalam jangka masa panjang?

"KUL-DOH sepatutnya jadi peluang bagi MAS untuk mempamerkan produknya kepada penumpang perkongsian kod Qatar Airways, tetapi sekarang ia melakukan yang sebaliknya," katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa semua penumpang yang terjejas ditawarkan penginapan hotel baru malam ini, manakala terdapat mereka yang terkandas selama lebih 24 jam yang menolak tawaran awal untuk penginapan.

Minggu lepas, The Edge melaporkan satu lagi penerbangan Malaysia Airlines Airbus A350-900 dari London ke Kuala Lumpur telah dilencongkan ke Doha kerana masalah teknikal yang dialami semasa penerbangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS