Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan batal perintah larangan penerbitan komik BRI Superman Hew
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 1:35 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Perintah Larangan terhadap penerbitan komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019 telah dibatalkan.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang bertarikh 6 Ogos.

Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang telah disiarkan dalam Warta pada 23Oktober 2019 yang melarang pencetakan, pengimportan,penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam Jadual," petik Warta Kerajaan Persekutuan itu.

Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Dakwaan kerajaan ketika itu adalah komik BRI itu mempunyai kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Antara lain, ia dikatakan cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Perintah melalui Warta Kerajaan PU(A) 288/2019 itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

Walau bagaimanapun, pada 26 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa buku komik BRI tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, menurut keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum KDN mengharamkan buku tersebut.

Pada 8 Disember 2022, media melaporkan kerajaan persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS