Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM dijangka buat pengumuman penting Jumaat ini
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 12:36 PM
Dikemaskini: Aug 14, 2024 2:58 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (Mappa) ke-19, di Putrajaya pada Jumaat ini.

Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman tersebut dijangka menarik perhatian ramai terutama penjawat awam.

“Kali ini ramai yang pasti ternanti-nanti tentang polisi atau dasar kerajaan Madani yang akan dibentangkan di Mappa.

"Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Haniff menjelaskan Mappa ke-19 merupakan platform bagi perdana menteri untuk berkongsi amanat atau dasar kerajaan, dan ia merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada 2022.

“Dijangkakan sekitar 7,000 penjawat awam akan hadir untuk mendengar sendiri apa yang ingin disampaikan oleh perdana menteri.

"Bagi yang tidak dapat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial,” katanya.

Mengulas mengenai keunikan penganjuran Mappa kali ini yang bertemakan Perkhidmatan Awam Madani, Haniff berkata sebanyak 32 reruai agensi dan kementerian akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Reruai terbesar yang akan dibuka ialah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Intan.

"Selain itu, kami juga menyediakan reruai Polis Diraja Malaysia untuk membolehkan orang ramai membayar saman dengan harga diskaun.

“Kami juga akan mengadakan Gerai Jualan Rahmah untuk pengunjung membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.

"Mappa akan mula dibuka pada jam 9 pagi dan mereka yang hadir boleh ke reruai yang ada terlebih dahulu kerana perdana menteri dijangka tiba sekitar jam 10 pagi,” katanya.

Haniff turut memaklumkan kawasan parkir di sekitar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya akan dibuka, manakala perkhidmatan shuttle disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang hadir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS