Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Podcast perlu dijadikan platform bermanfaat, bukan bual kosong
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Orang ramai dinasihat agar memanfaatkan kemudahan audio siar (podcast) sebagai platform untuk perkongsian bermakna dan ilmiah, bukan sekadar berbual kosong.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, menegaskan ruang itu sepatutnya digunakan oleh golongan intelektual untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kita raikan kebebasan untuk berkarya, memberikan pandangan, namun apa yang paling penting apakah objektif dan impak kepada perbincangan ataupun idea itu?

“Marilah kita bersama-sama membicarakan tajuk-tajuk yang produktif, yang konstruktif, yang boleh membawa negara kepada kemajuan, kepada perpaduan, kepada kesatuan hati rakyat Malaysia kerana pada hari ini cabarannya begitu besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata demikian selepas merasmikan program Nadwah Mahasiswa Timur Tengah yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Putrajaya semalam.

Program melibatkan mahasiswa dari Mesir, Jordan, Arab Saudi, Maghribi dan beberapa negara dari Timur Tengah itu bertujuan mengeratkan jaringan kerjasama antara kerajaan dan kumpulan terbabit dari aspek kebajikan serta akademik.

Zulkifli berkata ukhuwah dalam kalangan generasi baru pelajar Timur Tengah juga perlu diperkuatkan kerana mereka boleh memberikan teladan serta menjadi pemangkin perubahan serta perpaduan.

Katanya sudah sampai masa untuk generasi muda pelajar Timur Tengah bangkit dengan naratif baru perpaduan, dan berjiwa besar untuk menangani perbezaan serta kepelbagaian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS