Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept ini sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota.

Pengerusi SPR Ramlan Harun mengumumkan 14 Sept sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal dijadualkan pada 24 Sept.

“Bajet untuk pilihan raya kecil itu dianggarkan RM2.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

Kerusi DUN Mahkota di Johor kosong berikutan kematian penyandangnya daripada Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya negeri Johor 2022, Sharifah, yang mewakili BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166, menewaskan lawannya dalam perebutan empat penjuru.

Sebelum ini, Amanah Kluang juga menuntut untuk bertanding di kerusi Mahkota.

Walau bagaimanapun, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mematuhi prinsip "penyandang" iaitu parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelumnya akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam berkata keputusan meletakkan calon bertanding di kerusi Mahkota akan dibuat oleh pemimpin parti di peringkat nasional.

PRK DUN Mahkota merupakan PRK kesepuluh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata secara keseluruhan PRK DUN Mahkota memerlukan peruntukan RM2.4 juta.

Dia berkata seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu empat penolong pegawai pengurus dan 1,126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Mahkota.

Ramlan berkata satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Dia berkata tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 14 Sept hingga 11.59 malam, 27 Sept.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan, serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 9 Sept.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan bagi PRK DUN Mahkota ialah Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

“Sebanyak 20 pusat mengundi biasa, mengandungi 109 tempat mengundi atau saluran, dan tiga pusat mengundi awal yang mengandungi 11 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi sebanyak 23 buah dengan 120 tempat mengundi atau saluran,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 9 Sept.

SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK DUN Mahkota supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Ramlan berkata bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus, mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya, bagi melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi, serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh di portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 28 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS