Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
30 pendatang tanpa izin ditahan selepas lapan hari hanyut

Polis menahan sebuah bot yang hanyut bersama 30 pendatang tanpa izin warga Indonesia, kira-kira 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu Segari di perairan Manjung di Ipoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada polis marin yang menahan sebuah bot kayu jenis pom-pom kira-kira 8.34 malam.

"Setelah menahan bot itu, pihak polis marin membuat pemeriksaan dan menahan seorang tekong bot dan 29 individu termasuk lima wanita warga Indonesia kerana disyaki masuk ke negara ini tanpa pas perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua warga asing itu dipercayai berkumpul di sekitar Sabak Bernam, Selangor sebelum menaiki bot berkenaan pada 3 Ogos lepas.

Menurut Mohamed Nordin, bot itu mengalami kerosakan menyebabkannya hanyut kira-kira lapan hari sebelum dikesan Polis Marin.

Kes disiasat di bawah Sekysen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS