Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sekurang-kurangnya 8 rumah diroboh dalam operasi mengejut di Semporna

Sekurang-kurangnya lapan buah rumah di dua pulau dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran di Semporna, Sabah dilaporkan dirobohkan oleh pihak berkuasa dalam satu operasi mengejut hari ini.

Pengasas Borneo Komrad, Mukmin Nantang memberitahu Malaysiakini yang penduduk memaklumkan operasi itu kepadanya pagi ini.

“Minggu lepas, pihak berkuasa arahkan penduduk agar meninggalkan rumah mereka dan memberikan mereka dua dokumen yang memetik Enakmen Taman-taman (Pindaan) 2007, menggariskan peraturan dan kesalahan berkaitan menceroboh atau merosakkan Taman Negeri.

“Tiba-tiba pagi ini, sekurang-kurangnya empat bot pihak berkuasa dilihat, mencetuskan panik. Ketika itulah mereka memulakan operasi,” katanya.

Mukmin berkata lagi, rumah yang dirobohkan terletak di Pulau Tetagan dan Pulau Bodgaya milik komuniti Suluk dan Bajau Laut tanpa dokumen.

“Penduduk maklumkan pihak berkuasa guna gergaji rantai untuk runtuhkan dua buah rumah di Kampung Boheybual di Pulau Bodgaya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Taman-taman Sabah Maklarin Lakim mengesahkan satu operasi dijalankan ke atas “penempatan haram” dalam kawasan taman tersebut.

Menurutnya, Pulau Bodgaya adalah taman marin yang dilindungi dan maka tidak boleh ada penempatan di sana.

Pemangku Ketua Polis Semporna Fauzi Abd Kadir pula menyatakan operasi dalam kawasan Taman Sabah akan diteruskan sehingga Rabu ini (14 Ogos).

“Hari ini, sejumlah 15 buah rumah dirobohkan. Tiada tangkapan dibuat.

“Operasi dijlankan selepas tamatnya tempoh 14 hari notis yang dikeluarkan untuk kesalahan di bawah Seksyen 48(1), (j) dan (p) Enakmen Taman-taman (Pindaan) 2007 di kawasan perairan Bodgaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Kejadian sama dilaporkan pada 6 Jun lalu, di mana komuniti Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna diarah meninggalkan rumah atas air mereka, yang kemudiannya dirobohkan pihak berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS