mk-logo
Berita
Polis kesan tujuh kes guna dron edar dadah ke penjara
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Penggunaan dron untuk tujuan mengedar dadah di dalam penjara dikesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan setakat Ogos tahun ini, sebanyak tujuh kes dilaporkan melibatkan penggunaan peralatan tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata kes yang dilaporkan itu membabitkan dua kes masing-masing di Kedah dan Melaka serta satu kes masing-masing di Perak, Kelantan dan Sarawak.

Beliau berkata dadah yang dirampas keseluruhannya seberat 632.88 gram melibatkan pelbagai jenis bahan terlarang berkenaan antaranya ganja, syabu, pil yaba dan ketamin.

“Penggunaan dron untuk menyeludup dadah (ke dalam penjara) bukanlah kes baru sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di Johor pada 2020.

“Dalam kes itu seorang lelaki warga Singapura ditahan kerana kesalahan mengedar dadah menggunakan dron ke Singapura yang melibatkan rampasan dadah syabu (13.6g), pil ekstasi (11.83 g) dan heroin (2.5g),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 9 Ogos lepas, taktik licik pengedar cuba menyeludup dadah dengan menggunakan dron ke Penjara Tapah di Perak gagal selepas peralatan itu ditemukan petugas penjara semasa membuat rondaan.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata petugas penjara menemukan beg digantung pada dron di atas bumbung blok banduan di penjara tersebut.

Menurutnya dalam beg tersebut terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 12.9 gram.

Khaw berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut dan mengesan pelaku bagi kes tersebut.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket menggunakan dron bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat penyalahgunaan teknologi itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS