Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar persoal kempen BN guna helikopter, dakwa sewa lebih RM300,000

Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Nenggiri Annuar Musa mempersoalkan penggunaan helikopter oleh pemimpin Umno dalam berkempen.

Annuar berkata dia menyerahkan kepada rakyat untuk menilai cara kempen BN yang menggunakan helikopter yang menurutnya mencecah sewa kos ratusan ribu ringgit.

"Saya bukan buat tuduhan, ada yang beritahu helikopter itu ditaja tapi kalau yang taja itu ada kepentingan dan, saya faham ada kepentingan dalam satu kementerian, maka ini mungkin timbul masalah lain.

"Jadi, komen saya, kita tidak mahu ambil apa-apa tanggungjawab urusan kempen Umno. Nak datang dengan kereta api, kapal terbang ke, supersonic ke itu adalah urusan mereka, terpulanglah kepada rakyat.

"Kita tak menawarkan perkhidmatan (helikopter) yang sedemikian dalam tawaran kempen PN," katanya pada sidang media di Pusat Informasi PN di Gua Musang, hari ini.

Terdahulu Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya menyorot penggunaan helikopter yang didakwa oleh pemimpin Umno ketika berkempen di Neggiri.

Dalam hantaran di Facebooknya, Annuar mendakwa kos bagi tujuan sewaan helikopter sebegitu boleh melebihi RM300,000 ringgit.

"Perkhidmatan helikopter tak termasuk dalam tawaran PN. Walaubagaimanapun dalam pilihan raya ada undang-undang pilihan raya termasuk jumlah yang boleh dibelanjakan dalam menjayakan kempen.

"Kalau pakai helikopter yang mana semalam saya semak kosnya kalau pakai yang moden five seater itu RM350,000 dan itu melebihi daripada had berkempen, dah salah dari segi peraturan.

"Sebab yang pakai itu kalau mungkin timbalan perdana menteribolehlah kata pakai helikopter kerajaan. Itu pun salah juga sebab kempen parti tidak boleh menggunakan peralatan dan aset kerajaan," kata Annuar lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS