Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tegaskan lagi: Tanah Kesedar milik pusat, bukan Kelantan

PRK NENGGIRI | Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi mengulangi penegasannya bahawa isu tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) adalah di bawah bidang pusat.

Katanya oleh sebab itu adalah tidak benar dakwaan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, bahawa isu tanah peneroka Kesedar hanya boleh diselesaikan kerajaan negeri.

"Saya ingin balas tuduhan yang mengatakan bahawa tanah milikan Kesedar adalah tanah yang dimiliki oleh kerajaan Kelantan.

"Pada hakikatnya kita tahu bahawa Kanun Tanah Negara menyatakan, mana-mana tanah yang telah dibayar premium geran tanahnya di bawah Kesedar, ia adalah milik Kesedar," katanya.

Ahmad Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata demikian kepada media di Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, kenyataan menteri besar Kelantan mengenai perkara itu dilihat cuba mengelirukan peneroka di musim PRK.

Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan menyatakan kesediaan untuk meluluskan pemberian geran tanah kepada peneroka sekiranya Kesedar menyelesaikan bayaran premium tanah.

Mohd Nassuruddin berkata hanya kerajaan negeri boleh menyelesaikan isu pemberi geran kepada peneroka Kesedar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan pembahagian tanah peneroka dan peserta di semua agensi di bawah Kesedar akan diagihkan secara faraid.

Ia berbanding sistem sebelum ini yang hanya diberikan kepada  anak sulung selepas kematian peneroka.

Jelas Ahmad Zahid, pendekatan itu dilakukan bagi mengelak sebarang masalah yang timbul.

“Dari segi pemilikan tanah, kita tidak mahu mengulangi kesilapan di mana sebelum ini pewaris adalah anak sulung kepada peneroka yang meninggal, sebaliknya pembahagian akan dilakukan secara faraid.

“Perkara ini sedang kita lakukan kerana kita tidak mahu menimbulkan sebarang masalah dalam keluarga terutama mereka yang mempunyai lebih seorang anak," kata Ahmad Zahid.

Dalam isu berasingan, Ahmad Zahid ditanya mengenai laporan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan melakukan rombakan Kabinet.

Ahmad Zahid berkata, dia tidak dimaklumkan perdana menteri mengenai perkara itu.

"Saya belum diberitahu oleh perdana menteri Anwar Ibrahim jadi perkara itu (rombakan kabinet) di luar pengetahuan saya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS