Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC mahu kerajaan tetapkan gaji siling untuk CEO badan berkanun
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 10:40 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu  kerajaan menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif (CEO) atau pengarah urusan badan berkanun persekutuan (BBP) supaya tidak keterlaluan. 

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin, berkata setakat ini, pihaknya difahamkan tiada garis siling yang ditetapkan.

Ini, katanya, menyebabkan gaji jawatan ketua BBP dan jumlah diterima juga berbeza-beza antara satu agensi dengan agensi yang lain.

"PAC mahu kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan menetapkan garis siling gaji ini supaya tidak keterlaluan sehingga ada BBP yang gagal membayar dividen kepada kerajaan, tetapi sebaliknya mampu membayar tinggi gaji pengurusan tertinggi," katanya yang dipetik oleh Berita Harian.

Ahli Parlimen Masjid Tanah mengulas Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP yang dilancarkan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Katanya, ini bagi memastikan pengurusan BBP di negara ini lebih telus, berintegriti dan mempunyai kebertanggungjawaban.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai julat gaji pengurusan tertinggi dalam BBP itu.

Mengikut Akta Badan-Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240), BBP ialah mana-mana pertubuhan perbadanan, yang diperbadankan menurut peruntukan undang-undang persekutuan dan yang menjadi pihak berkuasa awam atau agensi kerajaan Malaysia.

Matlamat penubuhan BBP adalah bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih cekap tanpa terikat dengan peraturan pentadbiran kerajaan melalui suatu badan yang boleh bergerak lebih pantas, seiring dengan syarikat swasta.

Antara BBP itu adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala di bawah Kementerian Kewangan pula termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS