Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tawarkan manifesto 'khidmat' kepada pengundi Nenggiri

PRK NENGGIRI l Calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail menawarkan "khidmat" sebagai manifestonya kepada pengundi di DUN Nenggiri sempena pilihan raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung 17 Ogos nanti.

Khidmat adalah akronim kepada K “khidmat masyarakat’; H “hak rakyat; I “ integriti dan amanah”; D “daya ekonomi dan infrastruktur”; M” masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera”; A “anak muda berpendidikan dan berkemahiran” dan T “ tranformasi digital luar bandar”.

Manifesto yang ditawarkan itu mempunyai tujuh tawaran khusus meliputi 37 bahagian serta 12 tawaran untuk seluruh warga Nenggiri.

Tawaran  khusus itu turut memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli dengan cadangan untuk melantik seorang pegawai wakil rakyat daripada kalangan orang asli, mengusaha menaik taraf jalan-jalan masuk ke perkampungan Orang Asli, menubuhkan pendidikan Orang Asli Nenggiri serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Selain Orang Asli tawaran khusus juga turut merangkumi peneroka yang merupakan pengundi teras di DUN Nenggiri.

Tawaran kepada peneroka antaranya membantu mempercepatkan pemberian hak milik tanah lot kediaman dan kebun kepada peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Serta mempercepatkan pemberian hak milik tapak rumah untuk 580 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rantau Manis dan mempercepatkan pemberian hak milik tanah lot kediaman generasi kedua Rancangan Kemajuan Tanah (RKT)  dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT).

Pelancaran manifesto itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nussuruddin Daud di Markaz Tarbiah Renok, Gua Musang, malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin dan Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Annuar Musa.

PRK pada 17 Ogos ini adalah pertembungan antara calon BN Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Rizwadi Ismail yang mewakili PN.

Rizwadi yang adalah timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang bertindak menyertai Bersatu, dua hari sebelum penamaan calon.

Ini bagi membolehkannya bertanding mewakili PN kerana kerusi Nenggiri dimenangi Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu melalui calonnya, Mohd Azizi Abu Naim yang berpaling tadah.

Di Kelantan, tidak seperti di negeri-negeri lain, calon PN bertanding menggunakan lambang PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 17 Ogos hari mengundi.

BN, masih belum melancarkan manifestonya ketika kempen berbaki lima hari saja lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS