Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN terdesak, seru Orang Asli pecah undi - Syahbuddin

Tidak perlu pecah undi kepada PN, sebaliknya masyarakat Orang Asli perlu memberi sepenuh sokongan kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim berkata kenyataan itu menunjukkan PN dalam keadaan tertekan.

"Saya nampak PN semalam terdesak sebab itu kalau dulu mereka tak mempeduli langsung soal Orang Asli, dalam DUN (Nenggiri) pun kita tengok tak ada satu bajet tambahan besar diberikan kepada masyarakat Orang Asli dan isu-isu Orang Asli saya tak nampak mereka cuba selesaikan dengan serius.

"Cuma saya nampak bila musim pilihan raya semua berpusu-pusu ke pos-pos Orang Asli untuk dapatkan undi Orang Asli dan saya dapat laporan daripada pemimpin tempatan mereka janji bulan dan bintang.

"Tapi kita tak janji bulan bintang, tapi kita akan buat pertimbangan wajar kepada masyarakat Orang Asli dan hari ini Orang Asli faham isu utama mereka berkaitan dengan tuntutan tanah adat mereka supaya diwartakan dan sehingga hari ini kerajaan masih lagi berdolak dalik dan bermain tarik tali," katanya dalam sidang media di Bukit Cekatin, Gua Musang, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin meminta pengundi Orang Asli membahagikan sokongan kepada PN dan BN selepas menyedari akan kesukaran untuk parti itu menguasai sokongan kumpulan pengundi berkenaan.

‘40 tahun makan debu lori balak’

Hamzah berkata satu strategi supaya mana-mana parti yang bertanding tidak mempermainkan masyarakat Orang Asli.

"Kita kena ada strategi contohnya separuh (sokongan Orang Asli kepada) BN, separuh PN menunjukkan bahawa mereka tahu bahawa jangan diperkotak-katikan mereka.

"Jadi, orang PN pun sedar orang BN pun sedar.

“Itu yang patut mereka lakukan," kata Hamzah kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis, Gua Musang.

Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata masyarakat Orang Asli tahu bahawa pihak mana yang memberi tumpuan kepada mereka selama ini.

"Bagi saya mana boleh bahagi-bahagi undi, kalau nak undi beri keseluruhan kerajaan perpaduan.

Gambar fail, bantahan Orang Asli terhadap projek Empangan Nenggiri.

“BN seterusnya boleh bantu secara langsung Orang Asli dan pada masa sama saya juga harap kerajaan negeri memainkan peranan mereka sebaik mungkin.

"Semalam kita tengok laporan dibuat masyarakat Orang Asli di Kuala Betis yang kata mereka makan debu selama 40 tahun, debu-debu lori balak.

“Mereka tak dapat apa-apa sedangkan lori balak sibuk lalu depan rumah mereka tapi mereka tak dapat apa-apa manfaat dari perkara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS