Menyedari akan kesukaran untuk Perikatan Nasional (PN) menguasai sokongan pengundi masyarakat Orang Asli di Nenggiri, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menyeru supaya masyarakat itu memecahkan sokongan kepada calon PAS dan BN.
Hamzah berkata ia sebagai satu strategi supaya mana-mana parti yang bertanding tidak mempermainkan masyarakat Orang Asli.
"Kita kena ada strategi contohnya separuh (sokongan Orang Asli kepada) BN, separuh PN menunjukkan bahawa mereka tahu bahawa jangan diperkotak-katikan mereka.
"Jadi, orang PN pun sedar orang BN pun sedar. Itu yang patut mereka lakukan," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis, Gua Musang, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata melalui cara sebegitu, kerajaan yang memerintah tidak boleh mempermainkan masyarakat Orang Asli.
Hamzah mengambil contoh Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji untuk melakukan reformasi masyarakat Orang Asli, namun menurutnya tiada sebarang pembaharuan dilakukan sehingga kini.
Untuk rekod pada pilihan raya negeri (PRN) calon Bersatu yang bertanding menggunakan logo PAS hanya memperoleh lebih 100 undi daripada masyarakat Orang Asli.
BN dilihat lebih mendominasi sokongan pengundi masyarakat Orang Asli di Neggiri.
PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung 17 Ogos nanti menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan PN yang diwakili Bersatu.
BN meletakkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PN pula diwakili Mohd Rizwadi Ismail.
Dalam pada itu, Hamzah berkata PRK DUN Nenggiri harus menjadi medan untuk membawa suara rakyat menyatakan kesengsaraan yang dihadapai ketika ini.
Hamzah berkata dia melihat perubahan pada PRK DUN Nenggiri ini apabila pembangkang pun dapat memasuki kawasan Orang Asli.
"Ia memberi sesuatu yang terbuka pada diri saya bahawa masyarakat Orang Asli juga melihat Nenggiri ini sebagai alat menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati," katanya lagi.
Hamzah berkata pada pertemuannya dengan masyarakat Orang Asli, dia dimaklumkan bahawa masyarakat itu mahu supaya kerajaan negeri mahupun Persekutuan memberi perhatian kepada mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada isu pembalakan yang mengancam masyarakat Orang Asli.
Selain itu katanya, soal prasarana masyarakat Orang Asli juga harus menjadi tumpuan kerajaan termasuk kerajaan negeri Kelantan.
"Saya hairan kawasan ini dikuasai BN, namun infrastruktur tidak dijaga. Seperti disebutkan Hamzah, Orang Asli tidak mahu dipermainkan," katanya.