mk-logo
Berita
Nenggiri dapat mesin ATM tak lama lagi - Kementerian Kewangan
Diterbitkan:  Aug 10, 2024 2:04 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Nenggiri dijangka akan mendapat perkhidmatan ATM tidak lama lagi, menurut pengumuman Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut kementerian itu, ia telah mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan mengenai penempatan mesin ATM di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, dan perbincangan tersebut telah menunjukkan hasil yang "positif."

"Pengaktifan perkhidmatan ATM ini akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha ini akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas ini.

"MOF juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan," kata kementerian itu pada satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan juga menggesa orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka untuk menghubungi pihaknya melalui [email protected] atau talian 03-8000 8000.

Pada masa ini, lebih 30,000 orang di Nenggiri terpaksa menempuh perjalanan sekurang-kurangnya 50km untuk mencapai ATM terdekat yang terletak di bandar Gua Musang.

Perjalanan ini mengambil masa kira-kira 45 minit dengan kereta manakala ada yang menaiki bot selama 30 minit sebelum kemudian menghabiskan masa sejam di dalam kereta api. Stesen minyak terdekat terletak kira-kira 30km jauhnya.

Terdahulu hari ini, calon BN untuk pilihan raya kecil Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berjanji untuk berusaha mendapatkan ATM di Nenggiri, yang telah menjadi keperluan mendesak bagi penduduk di kawasan itu.

Mohd Azmawi akan berdepan dengan calon PN Mohd Rizwadi Ismail, dalam perebutan kerusi DUN pada 17 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS