mk-logo
Berita
Label bukan Islam M'sia kafir harbi perbuatan ekstrem - Mufti WP
Diterbitkan:  Aug 10, 2024 1:20 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Istilah “kafir harbi” tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya terhadap mana-mana warganegara bukan Islam di negara ini kerana mereka tidak memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh ulama, kata pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP).

"Dalam konteks di Malaysia, setiap warganegaranya daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi.

"Hal ini kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang telah ditetapkan oleh para ulama. Selain itu, melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ini akan membawa implikasi yang buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

"Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan," kata pejabat mufti itu pada kenyataan Irsyad Hukum Siri ke-864: Isu berkaitan pengkategorian kafir harbi.

Pihak berkuasa agama Islam Wilayah Persekutuan memberi jawapan terhadap soalan siapakah sebenarnya dikategorikan sebagai kafir harbi dalam konteks zaman sekarang?

Terdahulu, seorang ahli PAS Bachok menggunakan istilah “kafir harbi” terhadap DAP semasa berceramah pada majlis kempen pilihan raya kecil di Nenggiri awal minggu ini.

Pengarah operasi pilihan raya PN di Nenggiri, Annuar Musa (gambar bawah) berkata ahli PAS berkenaan telah "digantung tiga hari" daripada berkempen untuk membolehkan keadaan reda sebentar.

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata istilah "kafir harbi" merujuk kepada bukan Muslim yang memerangi Muslim dan melakukan kekejaman terhadap mereka.

"Jika kita memberikan konteks, istilah ini mungkin merujuk kepada Zionis dan Israel yang berperang dengan Muslim, serta mengusir mereka dari rumah dan negara mereka," katanya pada satu hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS