Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua wanita cedera diserang dalam tandas surau
Diterbitkan:  Aug 10, 2024 9:19 AM
Dikemaskini: 1:19 AM

Dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau di dalam tandas sebuah surau, berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, di Selangor kira-kira 1.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan susulan kejadian ini,” katanya.

Difahamkan kedua-dua mangsa yang berumur 20-an dan 50-an telah dihantar ke Hospital Shah Alam.

Sementara itu, seorang daripada ahli jawatankuasa surau berkenaan yang enggan dikenali berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Shahrulnizam menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan polis sedang menyiasat motif sebenar serangan yang berlaku di surau berhampiran sebuah sekolah rendah agama itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berumur 26 dan 52 tahun tidak mengenali suspek. Polis sedang giat mengesan lelaki itu yang dipercayai merupakan warga tempatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 1.48 tengah hari semalam daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat dua wanita cedera akibat diserang oleh seorang lelaki dengan menggunakan pisau.

Kedua-dua mangsa katanya telah menerima rawatan awal daripada pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-79662222,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS