Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mendakwa seorang kolumnis Malaysiakini menggunakan perkataan berbeza dalam menterjemah kenyataannya mengenai prestasi ringgit.
"Saya sebut di Sabah bahawa kedudukan ringgit, dari segi kenaikan tertinggi di Asia, adalah ketara.
“Ada orang salah faham dan kata PM silap. Tonton video sekali lagi; ia mengenai kenaikan tertinggi di Asia,” katanya, sebelum menegaskan perlunya penguasaan bahasa Melayu yang mantap dan berharap Malaysiakini membuat pembetulan.
Anwar menyalahkan kolumnis Malaysiakini, namun isu itu sebenarnya berpunca daripada laporan asal Bernama berhubung ucapannya mengenai ringgit.
Kolumnis berkenaan, P Gunasegaram, memetik kenyataan Anwar berdasarkan laporan Bernama itu, tetapi apa sebenarnya yang Anwar perkatakan mengenai ringgit?
Berdasarkan video ucapannya, yang siarkan di saluran YouTube Anwar, perdana menteri itu berkata:
“Ini isu pokok. Buat apa kita gaduh? Kerana kita bersamalah ringgit kita terkuat dalam masa 14 tahun. Hari ini ringgit paling kuat dalam masa 14 tahun, paling kuat dalam Asia peningkatannya.
"Kenapa apa? Bukan kerana jasa saya, bukan kerana Anwar. Kerana dasar Kerajaan, kerana kekuatan dan kemuafakatan kita.”
Anwar membuat ucapan itu pada 4 Ogos di Konvensyen PKR Sabah di Kota Kinabalu.
Justeru kedua-dua laporan Bernama versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mengenai ucapan itu dimulakan dengan parafrasa yang menyatakan bahawa Anwar mengatakan mata wang ringgit 'pada masa ini dilihat berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama.
Ia juga memetik Anwar secara langsung sebagai berkata, “Ringgit juga paling kuat dalam Asia”. Perkataan 'juga' tidak terdapat dalam ucapan sebenar dan mungkin ditambah untuk kejelasan.
Laporan daripada agensi berita nasional itu kemudiannya telah diambil oleh pelbagai media, termasuk Malaysiakini, dan menjadi asas kepada artikel Gunasegaram yang menyangkal dakwaan Anwar.
Setakat ini, artikel itu tidak lagi boleh diakses di laman web Bernama. Usaha untuk mengakses laman web yang berkaitan dialihkan ke halaman utama laman web tersebut tanpa sebarang notis.