Seorang warga China berdepan hukuman penjara dan denda sehingga RM10 juta atas pertuduhan melepaskan buangan bahan kimia berhampiran loji rawatan air di Rawang, Selangor, yang menyebabkan gangguan bekalan air secara besar-besaran di Lembah Klang, bulan lalu.
Menurut Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), lelaki berusia 42 tahun itu didakwa membuang bahan kimia dalam perairan daratan berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang tidak dinamakan itu mengaku tidak bersalah.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 25(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) dan dibaca bersama Seksyen 25(1), Akta yang sama.
Di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM10 juta jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Rajjjah Mat Zin menafikan jaminan terhadap tertuduh, yang diwakili peguam daripada firma guaman Karpal Singh & Co.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Timbalan Pendakwa Raya JAS, Nurliyana R Azmi.
Kebocoran dari kilang plastik
Pencemaran bau akibat buangan bahan kimia itu menyebabkan Loji Rawatan Air Rantau Panjang Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas pada 23 Julai lalu.
Ini mengakibatkan gangguan bekalan air di tujuh daerah - Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang berlarutan beberapa hari.
Sebelum ini dilaporkan pencemaran itu berpunca daripada kebocoran tangki di sebuah kilang plastik berhampiran sungai berkenaan.
Majlis Perbandaran Selayang mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pelaku dan menggantung lesen operasi kilang itu selama tujuh hari, menyebabkan reaksi kurang senang orang ramai terhadap denda yang agak rendah.
Kompaun itu dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Perlupusan Sampah Sarap (MPS) 2007.
The Star melaporkan lawatan ke lokasi mendapati beberapa kilang beroperasi di kawasan yang sama, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai pencemaran yang sama dan gangguan bekalan air pada masa hadapan.