Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila mentafsirkan apa yang diperkatakannya bahawa ringgit kini terkuat di Asia.
Ini berlaku selepas Anwar mendakwa seorang kolumnis Malaysiakini menggunakan perkataan berbeza ketika menterjemah kenyataannya mengenai kadar pertumbuhan ringgit.
"Saya sebut di Sabah bahawa kedudukan ringgit, dari segi kenaikan tertinggi di Asia, adalah ketara. Ada orang salah faham dan kata PM silap. Tonton video sekali lagi; ia mengenai kenaikan tertinggi di Asia.
"Sebab itu di Malaysia, sama ada kamu Melayu, Cina, India, atau Kadazan, kamu mesti menguasai bahasa Melayu dengan baik.
“Saya harap Malaysiakini dapat membetulkan perkara ini,” katanya selepas meluncurkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dirinya terbuka untuk dikritik tetapi ia perlu dirujuk kepada kenyataan yang betul.
"Yang saya singgung tadi rencana yang tidak lihat ucapan saya sebenar yang menyebut peningkatan kadar ringgit menyebabkan ringgit terkuat di Asia.
"Bukan (nilai) ringgit itu yang terkuat. (Jadi) kalau nak tegur boleh, tetapi rujuk kenyataan yang benar," katanya lagi.
Awal hari ini, bekas editor perniagaan P Gunasegaram membuat kupasan yang mendakwa Anwar silap menyifatkan prestasi ringgit berada pada tahap paling kukuh.
Pada 4 Ogos, Bernama melaporkan Anwar sebagai berkata bahawa ringgit pada masa ini dilihat berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama.
Malah, perdana menteri berkata mata wang itu, yang sering dipertikaikan pembangkang kononnya sedang merudum, sebenarnya telah memperlihatkan aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini.
“Ringgit juga paling kuat dalam Asia, kerana apa? Bukan kerana saya, bukan kerana Anwar, ini kerana dasar kerajaan, kerana muafakat kita. Pelaburan datang, kalau tengok rekod puluhan tahun, orang yang pernah dalam kerajaan Persekutuan tahu belum pernah sambutan (pelabur) sebegitu rupa.
“Bukan kerana Anwar. Tetapi kerana Anwar mewakili negara Malaysia yang kini bangun sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya.