Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud enggan mengulas kenyataan Nik Mohammad Abduh Nik Aziz yang menyifatkan Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis sebagai 'Hang Jebat' kerana meninggalkan Umno untuk menyertai PAS.
Nassuruddin ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung perkara itu meminta supaya soalan itu diajukan kepada Nik Abduh yang juga ahli Dewan Negara.
Katanya, jika soalan itu dilajukan kepadanya, ia umpama tindakan cuba melagakannya dengan bekas ahli parlimen Bachok itu.
"Kena tanya dia (Nik Abduh) sebab dia sebut itu. Baru betul. Sebab Nik Abduh yang cakap.
"Kalau Nik Abduh komen tanya orang lain itu orang panggil nak pelaga (batu api)," katanya kepada media ketika berkempen di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang di Kelantan.
Kelmarin, Nik Abduh menyifatkan Adun Rembia di Melaka itu sebagai 'Hang Jebat' kerana meninggalkan Umno dan menyertai PAS baru-baru ini.
Kata Nik Abduh, sepanjang usianya yang kini melebihi 50 tahun, belum pernah dia melihat ada wakil rakyat Umno yang kemudian memilih PAS sebagai wadah perjuangan.
"Sepanjang lebih 50 tahun umur saya, saya rasa tak ada wakil rakyat Umno masuk PAS.
"Memang betul-betul Hang Jebat Jailani ni. Ia juga satu sejarah dalam politik negara kita," katanya ketika berucap di ceramah kelompok yang diadakan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian, Gua Musang.
Sementara itu, menteri besar Kelantan itu juga enggan mengulas lanjut berhubung kadar gajinya yang dikatakan tinggi berbanding pendapatan negeri berdasarkan analisis Kini News Lab.
"Tengok biar betul mana lebih tinggi, betul ke paling tinggi,tak perlu tanya (soal gaji).
"RM30,000 dengan RM20,000 mana lebih tinggi, jadi tak perlu saya ulas," katanya lagi, membandingkan gaji yang diterimanya dengan gaji beberapa menteri besar di negeri lain.
Berdasarkan analisis Kini News Lab, gaji eksekutif di Sarawak, Sabah, Terengganu dan Pahang adalah sekurang-kurangnya RM30,000 - iaitu lebih tinggi berbanging gaji perdana menteri RM22,826.
Baca berkaitan: Gaji PM lebih rendah dari enam MB, ketua menteri
Perbandingan gaji menteri besar atau ketua menteri yang dibuat dibuat Kini News Lab adalah berdasarkan KDNK per kapita dicapai sesebuah negeri.
Misalnya, pendapatan KDNK per kapita Pulau Pinang paling tinggi di Malaysia, namun jika dibandingkan pendapatan ketua menterinya paling rendah dibayar berbanding yang lain.
KDNK per kapita untuk Kelantan pada 2023 adalah yang paling rendah di Malaysia iaitu RM16,836, manakala gaji menteri besar di negeri itu ialah sebanyak RM20,000.