Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sokong piket NUBE, MTUC terkejut gaji CEO bank cecah jutaan ringgit
Diterbitkan:  Aug 8, 2024 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan sokongan terhadap piket yang dilancarkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (Nube), dengan menegaskan pendirian berani itu akan menjadi titik perubahan yang pasti dan bermanfaat kepada semua yang terlibat.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin menegaskan tindakan Nube sejak dua minggu lalu merupakan satu penegasan berani mengenai hak mereka untuk memperjuangkan kebajikan dan faedah yang adil bagi pekerja.

“MTUC sangat terkejut dengan bayaran gaji yang di perolehi oleh CEO bank yang mencecah jutaan ringgit dalam setahun.

“Jurang gaji yang terlalu besar antara pekerja B40 dan CEO umpama langit dan bumi sehingga mewujudkan dua kasta yang berbeza.

“Kasta maha kaya akan sentiasa menekan kasta marhaen sehingga mewujudkan kegelisahan, ketidakpuasan hati dan kekecewaan pekerja B40," kata Kamarul dalam kenyataan.

Pada 21 Julai, Nube mengumumkan akan melancarkan piket di seluruh negara untuk membantah tindakan CEO-CEO bank yang "semakin keterlaluan" dalam memusnahkan kesatuan itu.

Nube mendakwa bahawa CEO-CEO bank menafikan pekerja mereka beberapa hak termasuk keseimbangan kerja dan kehidupan, keselamatan pekerjaan serta kebebasan daripada buli, diskriminasi, gangguan serta gangguan seksual.

Justeru, Kamarul menggesa Kementerian Sumber Manusia (Kesemua) memainkan peranan dengan mendesak pengurusan bank mengadakan dialog sosial dengan Nube.

“Kerajaan atau Kesuma wajar mengunakan tekanan ke atas bank sehingga dialog sosial dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, Kamarul berkata kerajaan perlu menyiasat dan membuat audit terhadap syarikat GLC dan GLIC yang mengajikan ratusan ribu ringgit kepada CEO sehingga jurang gaji terlalu besar melebihi 100 kali ganda daripada pekerja bawahan.

“Golongan CEO yang maha kaya ini tidak boleh dibiarkan menindas pekerja B40.

“Mana perginya sifat ihsan kepada pekerja bawahan yang mengharapkan sedikit faedah pekerjaan berbanding faedah CEO.

“Hayatilah konsep Madani yang diterapkan oleh PMX bagi kesejahteraan kaum pekerja," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS