Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan kes rasuah anak Hamzah akan didengar hakim baru

Perbicaraan kes seorang perunding bebas yang juga anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri yang berdepan pertuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000, akan didengar di hadapan hakim baru Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rozina Ayob yang sebelum ini mendengar kes itu berkata beliau akan berpindah pada 15 Ogos ini dan hakim baru yang menggantikannya akan mendengar kes dihadapi Muhammad Faisal Hamzah.

“Sehubungan itu mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Ogos ini,” katanya pada sebutan kes hari ini.

Terdahulu peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhammad Faisal berkata sebutan kes hari ini adalah untuk pihak pembelaan melengkapkan senarai peguam yang dilantik mewakili tertuduh.

Pegawai Pendakwa SPRM Selvam T Armugom memaklumkan beliau akan mengendalikan kes tersebut bersama seorang lagi pegawai pendakwa Ikhwan Zaudi Nordin.

Muhammad Faisal, 40, anak kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati dan Syarikat Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimiliki tertuduh.

Syarikat berkenaan dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan Tender Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di pusat beli-belah, Jalan Dutamas 1 di Kuala Lumpur pada Mac 2018 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS