Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berita tak harus dinilai 'tak sah' kerana petik sumber - kumpulan wartawan
Diterbitkan:  Aug 8, 2024 1:34 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber yang tidak dinamakan.

Justeru pertubuhan pendukung kebebasan akhbar itu menegaskan sebarang laporan berita tidak seharusnya dinilai sebagai “tidak benar” atau “tidak sah” hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.

"Sebarang bentuk 'kerjasama' dengan apa-apa siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa juga tidak harus melibatkan tuntutan untuk mendedahkan identiti sumber yang dirahsiakan.

"Sebaliknya, keperluan untuk menghormati privasi dan kerahsiaan sumber digariskan sebagai salah satu dari lapan nilai Kod Etika Wartawan Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mewakili kerajaan.

"Keperluan yang sama turut menyumbang ke arah kemampuan wartawan dan organisasi media untuk menjalankan peranan sebagai tonggak keempat atau mewakili suara semua lapisan masyarakat," kata kenyataan itu, hari ini.

Ia sebagai merujuk siasatan polis terhadap laporan Malaysiakini berhubung rancangan rombakan kepimpinan tertinggi polis di Bukit Aman, serta kenyataan Menteri Komunkasi Fahmi Fadzil yang media perlu memberi kerjasama dalam siasatan polis.

Laporan yang dipertikai itu antaranya melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay akan dipindah keluar untuk mengetuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).

Kelmarin Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata laporan itu “tidak benar” kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berkenaan perkara itu. 

"PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita itu.

“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Geramm dan NUJM berkata, tanpa jaminan perlindungan, wartawan akan hilang kepercayaan dari sumber-sumber dengan maklumat yang perlu didedahkan.

Jelasnya, penilaian berkenaan kesahihan sumber dan maklumat yang didedahkan, selain keperluan untuk merahsiakan identiti seharusnya ditentukan oleh wartawan dan pengarang , tanpa penglibatan pihak luar.

"Perlu diingatkan, hak wartawan di Malaysia untuk melindungi kerahsiaan sumber juga telah diakui sebagai duluan mahkamah sejak 2013 dalam satu keputusan kes dakwaan pencemaran nama baik.

"Sekiranya terdapat pertikaian setelah penerbitan artikel atau berita, ia wajar diselesaikan melalui badan bebas Majlis Media Malaysia yang sedang di peringkat akhir penubuhan melalui Rang Undang-Undang yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai 2013, menolak permohonan anggota parlimen Bintulu Tiong King Sing dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi memaksa seorang wartawan mendedahkan identiti sumbernya dalam kes saman sivil terhadap bekas presiden MCA, Ong Tee Keat.

Mahkamah memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk saksi (wartawan) mendedahkan sumbernya demi kepentingan awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS